arena

Riebel maut berlanggar dengan ambulans

Oleh AFP

NOUMEA, New Caledonia: Pelumba muda profesional Perancis, Mathieu Riebel maut dalam kemalangan selepas berlanggar dengan ambulans dalam satu perlumbaan di sini.

Penganjur, berkata nahas itu turut menyebabkan rakan sepasukannya patah di bahagian kaki.

Riebel, 20, maut serta-merta dalam insiden di Tour de Nouvelle-Caledonie - perlumbaan tahunan sepanjang 870 kilometer di kepulauan Perancis itu.

Rakan sepasukannya Erwan Brenterch, 31, turut patah kaki dalam nahas itu, yang berlaku di laluan menuruni bukit di bahagian barat pulau berkenaan.

“Perlumbaan itu dihentikan dan saya tidak pasti sama ada ia akan disambung,” kata presiden jawatankuasa berbasikal New Caledonia, Gerard Salaun.

Punca utama kemalangan itu masih belum dapat dipastikan, kata Salaun.

Tetapi dia menambah bahawa salah seorang pelumba dipercayai bertindak memotong dari sudut yang berbahaya di sebuah selekoh.

Nahas itu terjadi pada peringkat pertama jelajah itu yang bermula pada 13 Oktober lalu. Seramai 62 pelumba mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 3:00pm
d