arena

Kejutan Elmi

Oleh Azlan Muhammad Zain

TUAH berganda buat pelumba PDRM, Mohd Elmi Jumari apabila memenangi peringkat keempat Tour de Selangor 2017 selain merampas jersi Raja Pecut, sebentar tadi.

Pemenang peringkat kedua itu, sekali lagi muncul pelumba terpantas apabila mencatatkan masa dua jam 04 minit 05 saat untuk mengungguli peringkat keempat pada saingan yang bermula dari Shah Alam ke Kuala Kubu Bharu sejauh 84 kilometer.

Dia berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berkerja-keras dan jurulatih, Sarjan Manjit Singh yang sentiasa membakar semangat mereka untuk mencapai kejayaan dalam perlumbaan.

“Terus-terang saya katakan, jarang pujian diberikan beliau (Manjit) dengan kebanyakannya hanya menyindir kami. Namun pendekatan yang digunakannya ternyata berhasil dengan saya sudah memenangi dua peringkat perlumbaan kali ini. Saya amat menghargainya,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Malah kejayaan memenangi peringkat keempat membolehkan Elmi merampas jersi biru (Raja Pecut) yang disandang pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman sejak peringkat pertama lagi.

Kedudukan Elmi yang kini mengumpul 35 mata bagaimanapun masih belum selamat tatkala berbaki satu peringkat perlumbaan esok dengan Zawawi dan pelumba Sitra Kelantan Cycling Team, Mohamad Saufi Mat Senan masing-masing mengumpul 25 mata serta masih mampu mencabarnya.

Kejayaan Elmi di Kuala Kubu Bharu itu turut menafikan usaha Terengganu Cycling Team (TSG) mencapai kemenangan peringkat pertama di perlumbaan berstatus 2.2 Jelajah Asia dengan pelumba berpengalamannya, Mohd Zamri Salleh terpaksa akur di tempat kedua diikuti Saufi ketiga.

Bagaimanapun ia kejayaan podium pertama bagi TSG selepas berlangsungnya empat peringkat perlumbaan dan pada masa yang sama rakan sepasukannya, Muhd Nur Aiman Mohd Zariff mengekalkan jersi pelumba muda terbaik.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 5:39pm
d