arena

Zawawi cipta sejarah

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUANG kini terbuka kepada pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman mencipta nama dengan memenangi gelaran utama dan pertama dalam kariernya sebagai pelumba lebuh raya.

Pelumba berusia 24 tahun itu berada dalam landasan tepat memenangi jersi kuning (kategori individu keseluruhan) Tour de Selangor 2017 dengan saingan berbaki satu peringkat esok yang bermula dan berakhir di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sejauh 112.2 kilometer, menyusuri kawasan sekitar Shah Alam, Meru dan Puncak Alam.

Pelumba kelahiran Perak itu mengumpul 10 jam 35 minit 11 saat untuk meninggalkan pencabar terdekat dari PDRM, Nik Mohd Azwan Zulkifle dengan perbezaan 11 saat.

“Agak mendebarkan juga kerana kemungkinan besar pasukan lain akan berulang kali cuba melakukan pemecahan sepanjang perlumbaan.

“Namun, saya percaya rakan sepasukan akan berusaha sedaya mungkin memastikan ia tidak akan berlaku. Kami akan cuba pastikan perlumbaan mampu berakhir dalam kelompok besar bagi membolehkan saya mengekalkan jersi kuning ini,” jelasnya.

Zawawi yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-23 pada peringkat keempat hari ini, bagaimanapun akur terlepas jersi biru (Raja Pecut), namun masih mengekalkan jersi merah (Raja Bukit).

Berbaki satu zon pendakian kategori empat di Puncak Perdana esok, dia kini mengumpul 12 mata diikuti rakan sepasukan dari Columbia, Wilmar Jahir Perez Munoz (10 mata) dan Yusrizal Usoff dari skuad kebangsaan dengan lapan mata.

“Apabila tumpuan diberikan kepada jersi kuning, saya perlu akur sekiranya tidak dapat mengekalkan jersi lain. Namun jika berpeluang saya akan berusaha meraihnya juga,” katanya.

TSC turut memburu gelaran pasukan terbaik apabila kini mengumpul 31 jam 51 minit 06 saat, meninggalkan pasukan dari Jepun, Aisan Racing Team dengan perbezaan 17 saat.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 8:50pm
d