arena

Rombak peraturan liga

Oleh Firdaus Hashim

PETALING JAYA: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) disaran supaya merombak peraturan Liga Malaysia (Liga M) dengan mewajibkan setiap pasukan menyenaraikan seorang pemain berusia 21 tahun ke bawah dalam kesebelasan utama pasukan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, kaedah itu pernah dilaksanakan sebelum ini pada musim 2007 yang menyaksikan ramai tonggak muda berjaya diketengahkan seperti Ahmad Fakri Saarani, Fitri Shazwan dan Khyril Muhymeen Zambri.

"Antara kepincangan skuad Harimau Malaya ketika ini kerana ketiadaan penyerang tempatan yang jarang beraksi dalam skuad utama di kelab dan pasukan liga kita.

"Sebenarnya FAM pernah buat dulu mewajibkan dua pemain bawah 21 tahun beraksi dalam liga, cuma saya tak tahu sebab kenapa ia tidak diteruskan sedangkan banyak perkara positif berlaku selepas itu.

"Malah, kebanjiran serta kebergantungan kepada khidmat penyerang import dalam Liga Super dan Perdana ketika ini menyaksikan kita ketandusan pemain di posisi serangan dalam pasukan negara dan sukar menjaringkan gol dalam perlawanan antarabangsa.

“Berapa kerat sahaja penyerang tempatan yang diberi peluang bermain dalam kesebelasan utama kedua-dua liga itu.

"Jadi, mungkin kita akan bawa balik dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk kita usulkan kepada FMLLP untuk mengkaji semula kaedah itu,” katanya pada sidang media pra perlawanan separuh akhir Piala Emas Raja-Raja 2017 di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Firdaus yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menegaskan, sudah tiba masanya khidmat pemain yang berusia 35 tahun ke atas tidak lagi dibenarkan beraksi di saingan Liga FAM pada musim depan.

Ujarnya, tindakan itu bagi menjamin ‘kesegaran’ daya saingan divisyen tiga itu dengan membuka pintu seluas-luasnya buat pemain daripada Piala Presiden dan Belia menyertai pertandingan ketiga paling tertinggi dalam sistem bola sepak negara itu.

“Liga FAM perlu disasarkan untuk mencungkil pemain baru dan muda, jadi inilah slot yang wajar disediakan untuk pemain yang lebih muda.

“Saya dapati kebanyakan pemain yang berusia 35 tahun ke atas, hati mereka sudah tidak sangat mahu bermain bola sepak lagi. Mereka sebaliknya hanya mahu dapat gaji dan sukar menyumbang kepada daya saing atau kejayaan pasukan.

“Jadi bagi Liga FAM akan datang, cukup-cukuplah kita saksikan pemain yang pada saya ibarat sudah ‘monopaus’ ini,” katanya yang turut mengharapkan suntikan dana lebih besar sama ada daripada FAM mahupun sektor swasta bagi menjenamakan semula pertandingan Piala Emas Raja-Raja itu.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:49pm
d