arena

Penantian 9 tahun Selangor berakhir

Oleh Faizul Azlan Razak

SELANGOR menamatkan penantian sembilan tahun untuk muncul juara Piala Presiden, biarpun tewas 0-1 dengan Terengganu, dalam aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Anak buah Omar Ali menang dengan agregat 2-1, hasil kemenangan 2-0 dalam aksi final pertama di Stadium Selayang, Jumaat lalu.

Dalam aksi sebentar tadi, pelawat terlebih dulu mencemaskan gawang tuan rumah seawal minit keempat, menerusi percubaan Badrul Amin Ruslan, namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Pada minit ketujuh, tuan rumah terlepas peluang keemasan untuk memperoleh gol awal menerusi percubaan Muhd Aliff Fitri Jefri yang menerima bola hantaran lintang Mohamad Rahmat Makasuf.

Dua minit berselang, Terengganu masih buntu membolosi gawang Selangor apabila tandukan Mohamad Rahmat melepasi gawang yang cuma dikawal kapten pasukan, Muhammad Haziq Ridwan.

Pada minit ke-17, Mohd Faizuddin Mohd Abidin melakukan percubaan dari luar kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Mohamad Shafawi Mohamad.

Terengganu yang dibimbing Mustafa Kamal Abdul Wahad akhirnya berjaya merapatkan defisit gol hasil sepakan percuma cantik oleh Mohd Haidhir Suhaini, menewaskan Muhammad Haziq pada minit ke-24.

Gol itu menyuntik moral pasukan Terengganu yang diiringi sokongan padu lebih 3,000 penyokong untuk memadamkan defisit dua gol milik Selangor.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus melakukan asakan ke kubu pelawat, namun gerakan yang direncana berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.

Pada minit ke-61, pengadil perlawanan, Muhammad Almi Abdullah membuat kesilapan besar apabila melayangkan kad kuning pertama, disusuli kad merah ke atas pertahanan Selangor, Muhd Amirul Ashraf Ariffin.

Insiden itu sekali gus menyebabkan pemain dan pegawai Selangor melakukan protes sebelum Muhammad Almi menarik balik keputusan itu.

Bagaimanapun, usaha Terengganu untuk memburu gol kedua terus menemui jalan buntu, walaupun melakukan serangan bertali arus hingga ke wisel penamat.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 11:13pm
d