arena

Guardiola harap City terus cemerlang

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola sedar Manchester City kendaliannya yang kini berada di puncak akan kehilangan rentak kemenangan pada satu ketika, tetapi dia yakin anak buahnya pasti bangkit lebih baik berbanding musim lalu.

Setakat ini, The Citizens kekal dengan aksi cemerlang tanpa sebarang kekalahan dalam semua pertandingan dan mendahului saingan Liga Perdana Inggeris hasil tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan.

Malam ini, City akan melayan kunjungan Burnley di Etihad.

Selepas kejayaan 7-2 ke atas Stoke City dan mengalahkan Napoli 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, Guardiola terus mendapat pujian yang disifatkan sebagai aksi terbaik sepanjang kendaliannya.

Musim lalu, aksi sama juga dipamerkan City dalam 10 perlawanan awal namun enam aksi selepas itu menyaksikan mereka sekadar meraih tiga keputusan seri dan tewas tiga kali sehingga menyaksikan The Citizens menamatkan saingan di tempat ketiga, ketinggalan 15 mata berbanding Chelsea.

“Ia boleh berlaku (kemerosotan). Kita kini berada dalam bulan Oktober. Kami tidak boleh berharap untuk menamatkan musim ini sama seperti apa yang kami lakukan bulan lalu (menang semua perlawanan).

“Dalam bola sepak, ia bukan mustahil dan saya mahu lihat bagaimana kami bertindak balas ketika kami kehilangan mata.”

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 12:54pm
d