arena

Taruh gabungan lama dan baru

Oleh Rizar Mohd Noor

SKUAD remaja negara akan mempertaruhkan gabungan muka lama dan baharu bagi menggalas cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang bermula di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, esok.

Pengurus pasukan negara, Nor Saiful Zaini berkata, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (gambar), Mohammad Firdaus Omar, Mohamad Zulhamizan Awang Abas, Norsyafiq Sumantri dan Muhammad Zaimi Mat Deris adalah lima muka lama yang pernah beraksi dalam kejohanan itu tahun lalu yang dikekalkan.

Katanya, pemain lain yang disenaraikan adalah barisan muda berumur antara 18 tahun dan 19 tahun dan ia antara perancangan jangka panjang Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi persiapan menghadapi Piala Asia Remaja 2019.

“Barisan pemain hoki yang dibentuk untuk kejohanan kali ini gabungan senior dan remaja, malah mereka sudah menjalani latihan enam fasa selama hampir tiga bulan.

“Saya tidak meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan, sebaliknya kita akan menilai dan membentuk barisan yang mantap dalam setiap perlawanan yang diharungi bermula dengan aksi pertama menentang Great Britain, esok.

“Walaupun kami tewas 1-2 kepada Jepun dalam aksi pemanas badan, tetapi itu bukan ukuran sebenar kerana ia berlangsung 30 minit sahaja dan kami mengesan beberapa kelemahan dan akan perbaiki segera sebelum kejohanan bermula,” katanya.

Selain skuad hoki remaja dan Great Britain, pasukan lain yang menyertai kejohanan berkenaan adalah Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan India.

Legenda hoki negara itu juga menyifatkan kejohanan yang dianjurkan Persatuan Hoki Johor dan diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa Antarabangsa (FIH) berkenaan mampu menjadi medan terbaik kepada pemain remaja negara bersaing dengan pasukan berkelas dunia.

JADUAL PERLAWANAN:

Esok (22 Oktober 2017)

4.05 ptg - India mln Jepun

6.05 ptg - Australia mln Amerika Syarikat

8.35 mlm - Malaysia mln Great Britain

*Semua perlawanan di Stadium Taman Daya, Johor Bahru

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 5:01pm
d