arena

Morais puji anak buah

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Rizar Mohd Noor

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais memuji persembahan cemerlang barisan pemainnya hingga berjaya membawa skuad Harimau Selatan ke final Piala Malaysia.

Johor DT mara dengan kelebihan agregat 4-1 selepas menewaskan Perak 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Morais berkata, segala perancangan yang direncanakan sebelum perlawanan diterjemahkan dengan baik anak buahnya, sekali gus mencatat kemenangan selesa ke atas Perak.

“Pemain saya dapat mengawal emosi dengan baik sepanjang permainan dan ia menjadikan persembahan mereka bagus.

“Mereka juga dapat menguasai bola dengan baik dan mengikut perancangan. Apa yang penting kami menang dan mara ke final,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Jaringan pada babak kedua daripada Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra dan Darren Lok membawa Johor DT ke final buat kali kedua selepas edisi 2014.

Malah, ini adalah peluang terbaik buat Morais untuk membantu Johor DT menebus kekecewaan tewas 3-5 kepada Pahang di final tiga tahun lalu, sekali gus melengkapkan trofi saingan tempatan buat skuad Harimau Selatan.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 11:58am
d