arena

'Kami serasi di Stadium Shah Alam'

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH Kedah, Nidzam Adzha Yusoff yakin pengalaman mereka beraksi di pentas akhir Piala Malaysia dua kali berturut-turut sebelum ini akan dijadikan azimat untuk mempertahankan kejuaraan apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada final 4 November depan.

Malah dia menganggap anak buahnya sudah serasi beraksi di Stadium Shah Alam yang menyaksikan mereka muncul naib juara 2015 dan juara 2016 menentang Selangor.

“Kami memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim 2017, kami juga menjadi juara Piala FA di Stadium Shah Alam. Kami tidak tewas di Larkin dan di gelanggang berkecuali kami akan cuba dan jika ada rezeki sekali lagi di Stadium Shah Alam.

“Stadium Shah Alam amat digemari pemain-pemain dan memang corak permainan Kedah memerlukan padang seperti itu,” katanya.

Kedah memburu kejuaraan keenam selepas melepasi halangan separuh akhir semalam menewaskan FELDA United menerusi agregat 3-1.

Bagaimanapun sebelum membuat perhitungan di final, skuad Helang Merah akan terlebih dulu bertemu juara Liga Super Johor DT di Stadium Darul Aman bagi aksi terakhir liga 28 Oktober ini.

Nidzam membayangkan akan menurunkan skuad kedua pada perlawanan itu biarpun terpaksa menafikan usaha mereka untuk merebut tempat ketiga liga.

“Kita akan memberi pasukan kedua beraksi pada perlawanan terakhir liga ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 3:54pm
d