arena

Morais fokus Liga Super dulu

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Rizar Mohd Noor

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais menegaskan masih belum mahu memikirkan mengenai aksi final Piala Malaysia berdepan juara bertahan, Kedah pada 4 November ini.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Portugal itu lebih selesa untuk memberi fokus sepenuhnya bagi aksi terakhir Liga Super yang juga berdepan skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Biarpun Johor DT sudah mengesahkan kejuaraan liga, Morais tetap tidak memandang mudah aksi terakhir itu bagi memastikan Johor DT menamatkan saingan liga musim ini dengan kemenangan.

“Saya tidak akan menurunkan skuad kedua untuk berdepan Kedah (dalam aksi terakhir liga). Saya perlu menyenaraikan pemain terbaik kerana kami akan cuba mencari kemenangan pada perlawanan terakhir.

“Kami mahu mendapat lebih banyak kelebihan (untuk ke final Piala Malaysia), malah kami juga mahu menamatkan saingan liga dengan keputusan yang baik.

“Selepas perlawanan itu kami mempunyai masa, walaupun tidak terlalu lama sebelum final. Jadi kami akan fokus dulu perlawanan liga dan selepas itu barulah akan fikir mengenai final,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam tadi, jaringan Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra dan Darren Lok pada babak kedua membolehkan Johor DT menewaskan Perak 3-0.

Keputusan itu menyaksikan Johor DT mara ke final piala berprestij itu buat kali kedua dengan kelebihan agregat 4-1 selepas mereka terikat 1-1 pada aksi pertama di Ipoh, Ahad lalu.

Ketika ditanya mengenai persembahan Guerra yang tampak sudah kembali berada pada prestasi terbaik, Morais menjelaskan kejayaan pasukannya adalah hasil kerjasama berpasukan dan bukan kerana kehebatan individu.

“Seperti semua pasukan, kita tidak melihat kepada persembahan individu. Tapi Guerra berjaya menjaringkan gol (malam tadi) dan ia berbeza dengan permainannya ketika di Perak.

“Namun, apa yang penting kami sudah mara ke final dan saya gembira dengan persembahan semua pemain,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:04pm
d