arena

Thomas ungguli Piala CJ

Oleh AFP

JEJU,Korea Selatan: Justin Thomas merakam birdie pada jarak dua kaki, di pusingan penentuan playoff kedua untuk mengalahkan Marc Leishman dan menjulang trofi kejuaraan golf Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) di Asia, untuk kali ketiga.

Kedua-dua pemain ini menamatkan saingan 72 lubang Piala CJ di Korea Selatan dengan masing-masing terikat dengan catatan sembilan bawah par, selepas mereka terlepas pukulan eagle di lubang ke-18 di pusingan terakhir.

Ketika playoff pertama di lubang ke-18, Leishman memiliki kelebihan dua pukulan tetapi pemain Australia ini tidak bernasib baik di pusingan kedua apabila pukulannya tersasar jauh disebabkan keadaan angin dan bola terjatuh ke dalam air.

Leishman hanya mampu merakam enam bogey dan Thomas dari AS mengambil peluang terbaik ini untuk melakukan birdie sekaligus memastikan cek kemenangan bernilai AS$1.665 juta (RM7 juta) itu menjadi miliknya.

Pemain AS berusia 23 tahun ini akan melonjak ke kedudukan nombor tiga dunia selepas kemenangan kali ini.

Kejayaan di Jeju ini adalah gelaran yang keenam yang diraihnya, sejak dia mula memecah badi kemenangan - bermula dengan CIMB Classic di Malaysia untuk kali kedua, pada Oktober 2016.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:54pm
d