arena

Mourinho 'serang' anak buah

Oleh AFP

HUDDERSFIELD, United Kingdom: Jose Mourinho melancarkan ‘serangan mulut’ kepada anak buahnya selepas Manchester United tewas mengejut di tangan Huddersfield Town, sambil dia mengakui terkejut dengan persembahan buruk pemainnya.

United tewas buat kali pertama musim ini, dengan keputusan 2-1 yang diraih pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membolehkan mereka merakam kemenangan pertama ke atas United sejak 1952.

Gol Huddersfield yang dijaringkan Aaron Mooy dan Laurent Depoitre adalah berpunca daripada kesilapan dua pemain United, Juan Mata serta Victor Lindelof.

“Pada babak pertama, saya hanya menunggu bila kami akan dihukum,” kata Mourinho.

“Jadi gol berpunca daripada Mata dan Victor, namun beberapa pemain nyaris melakukan kesilapan kerana semuanya beraksi dengan buruk.

“Apabila saya tewas, saya suka tewas di tangan pasukan yang beraksi lebih baik. Namun saya tidak suka apabila kami tewas disebabkan sikap buruk pemain itu sendiri.

“Saya mendengar ketika sesi temuramah, Ander Herrera menyatakan sikap dan keinginan mereka tidak berada pada tahap sebenar. Ya Tuhan.

“Kalau pemain sendiri yang menyatakan perkara sebegitu dan merasakan ia berlaku, mereka yang sepatutnya pergi ke sidang media dan menerangkan kenapa.

“Saya tidak boleh menjelaskan perkara itu,” kata Mourinho.

Sebelum bertandang ke Stadium John Smith, skuad bimbingan Mourinho hanya melepaskan dua gol iaitu ketika seri 2-2 menentang Stoke City pada September lalu.

Namun, bagi pengurus United ini, dia lebih risau memikirkan hakikat mereka tewas buat pertama kali dalam tempoh 15 bulan sejak dia mengemudi kelab - dengan kekalahan berpunca daripada sikap buruk pemain mereka sendiri.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 6:24pm
d