arena

OFA juara Kejohanan Kuantan 7's Hockey Challenge

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pengalaman menjadi kelebihan buat pasukan The Old Free’s Affociation (OFA) apabila muncul juara kategori terbuka Kejohanan Kuantan 7’s Hockey Challenge selepas menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Pro Digy 1-0 di Stadium Hoki Wisma Belia Indera Mahkota, di sini, baru-baru ini.

Gol tunggal juara Liga Hoki Tenaga Nasional Berhad Pulau Pinang 2016 itu disumbangkan bekas pemain kebangsaan, Baljit Singh pada penghujung babak kedua permainan hasil kesilapan pertahanan lawan.

Ketua pasukan OFA Ezuan Ghazali berkata, pada peringkat separuh akhir pasukannya dipaksa bekerja keras untuk menewaskan barisan pemain muda SSBJ Phan Pera dengan jaringan 1-0.

Katanya, gandingan bekas pemain kebangsaan, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Azuan Abdul Rahman menjadi senjata utama pasukan OFA terdiri daripada bekas pelajar Penang Free School dan beberapa pemain jemputan.

Katanya, kejayaan menjuarai kategori terbuka Kuantan 7’s Hockey Challenge adalah pencapaian kedua terbaik musim ini selepas menjulang kemenangan pada saingan kejohanan hoki veteran di Sarawak Ogos lalu.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 12:08pm
d