arena

Musim terbaik Syarul

Oleh Ajitpal Singh

ATLET bina badan Syarul Azman Mike Mahen (gambar) menamatkan kempennya musim ini dengan gelaran ketiga di Jemputan Hangzhou di China malam tadi.

Bekas pemain bola Kuala Lumpur itu meraih emas dalam kategori fizikal atlet untuk ketinggian sehingga 170cm.

Atlet 44 tahun itu memenangi gelaran Kejuaraan Asia ketiganya di Seoul Ogos lalu sebelum mempertahankan pingat emas Kejuaraan Dunia di Mongolia pada 7 Oktober.

“Saya menang ketiga-tiga pertandingan peringkat antarabangsa yang sukar musim ini. Ia adalah musim terbaik saya sebagai atlet bina badan,” kata Syarul yang berasal dari Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun saya harap kemenangan ini akan meletakkan saya dalam kelompok atlet terbaik di Kuala Lumpur. Saya mula memenangi pertandingan penting sejak tahun 2015, tetapi tidak pernah tersenarai untuk anugerah Olahragawan Kuala Lumpur.

“Saya harap satu hari nanti pihak terbabit alam mengiktiraf sumbangan saya sebagai atlet bina badan. Ia agak mengejutkan apabila saya dicalonkan untuk Olahragawan Negara 2016.”

Berkenaan kemenangan di Hangzhou Syarul berkata, ia cukup sengit kerana dia satu-satunya atlet negara yang bertanding dalam acara berkenaan.

“Saya ke Hangzhou seorang diri tanpa rakan sepasukan. Bagaimanapun saya mempunyai rakan-rakan dari negara lain yang membantu saya sepanjang pertandingan,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 1:08pm
d