arena

Faiz, Jafri intai pasukan lain

Oleh BERNAMA

DUA pemain Pulau Pinang, Faiz Subri dan Jafri Firdaus Chew sedia mempertimbangkan tawaran beraksi dengan mana-mana pasukan tempatan musim depan.

Bagi Faiz, pemenang anugerah Puskas FIFA 2016, fokusnya kini adalah membantu skuad Harimau Kumbang mencatat kemenangan ke atas Selangor pada aksi Liga Super di laman sendiri, Sabtu ini.

“Saya tidak pasti lagi sama ada akan kekal atau tidak bersama Pulau Pinang kerana kontrak saya tamat bulan depan namun fokus saya kini adalah membantu pasukan mencatat keputusan positif berdepan Selangor nanti.

“Dalam masa terdekat, saya mungkin berjumpa dengan pengurusan berhubung kontrak saya, namun jika ada rezeki lebih baik di tempat lain, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Jafri juga sedia mempertimbangkan tawaran pasukan lain sekiranya ia dapat membantu mengembangkan kariernya.

“Kontrak saya dengan Pulau Pinang habis hujung tahun ini dan saya tak tahu lagi hala tuju bagi musim depan.

“Jika ada pasukan berminat mendapatkan khidmat saya, saya mungkin akan pertimbangkan namun saya akan mendapatkan pandangan ahli keluarga terlebih dulu terutamanya restu ibu bapa saya,” jelas Jafri, penyerang skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan.

Pulau Pinang sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dalam Liga Super dengan sekadar 12 mata daripada 21 perlawanan.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 3:11pm
d