arena

Khairul Hafiz tak sabar hadapi 2018

Oleh BERNAMA

SESUDAH pulih sepenuhnya daripada kecederaan, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan (gambar) kini giat melakukan persiapan rapi bagi menghadapi tiga kejohanan besar dalam kalendar olahraga tahun depan.

Anak muda kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka itu berkata, dia kini menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim di Johor Bahru.

Khairul Hafiz, 19, menyatakan dia perlu bekerja keras bermula sekarang kerana ia adalah penampilan sulungnya di tiga kejohanan besar itu iaitu Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England dari 1 hingga 4 Mac, Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (4-15 April) dan Sukan Asia Indonesia 2018 (18 Ogos-2 September).

“Alhamdulillah kecederaan otot paha kanan yang saya alami ketika beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini sudah pulih sepenuhnya dan saya berterima kasih kepada Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara dan jurulatih kerana banyak membantu dan memberi semangat kepada saya untuk pulih,” katanya.

Khairul Hafiz yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter lelaki KL2017 itu berkata, dia berazam untuk melakukan persembahan terbaik dalam tiga kejohanan itu.

Dia menegaskan Kejohanan Dalam Dewan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia penting baginya kerana ia peluang untuk menunjukkan kepada dunia atlet dari Malaysia juga boleh menjadi pencabar mereka.

“Saya percaya ramai atlet terbaik dunia akan menyertai tiga kejohanan itu namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk cuba melakukan persembahan terbaik buat negara,” katanya.

Khairul Hafiz dijadual menjalani latihan selama sebulan di Jerman Februari depan dan selepas itu akan terus ke Birmingham untuk beraksi dalam kejohanan dunia.

Sebagai rekod pada temasya KL2017, Khairul Hafiz menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara 100m lelaki apabila menewaskan juara bertahan, Eric Cray dari Filipina dengan masa 10.38 saat, selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 3:23pm
d