arena

Irfan kekal teraju Terengganu

Oleh Malik Muhamad

BERITA gembira buat peminat setia pasukan bola sepak Terengganu apabila ketua jurulatih Peteh Terengganu Peteh, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan akan kekal membimbing skuad itu musim depan.

Bagaimanapun jurulatih berpengalaman berusia 66 tahun itu yang pernah berkelana bersama kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia hanya menyambung kontrak selama setahun hingga 2018.

“Ya, saya akan kekal semusim lagi hingga 2018 bersama Terengganu dalam misi membawa pasukan itu mencatat kejayaan lebih baik lagi musim depan.

“Sekarang saya mahu menumpukan saingan terakhir Liga Perdana bertemu PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dulu Jumaat ini sebelum mencari pemain baru untuk diserapkan dalam skuad musim depan,” kata Irfan yang pernah membimbing skuad Terengganu menjulang Piala FA pada 2011.

Awal bulan ini, bekas pemain kebangsaan itu tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sama ada ingin kekal bersama skuad Penyu atau membimbing pasukan lain dan menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat keputusan.

Kenyataan Irfan itu ternyata mengundang resah buat penyokong Terengganu yang mahukan jurulatih itu terus kekal bersama skuad Penyu selepas sentuhan magisnya berjaya membawa pasukan ke saingan Liga Super musim depan sekali gus menepati KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang ditetapkan PBSNT.

Bekas jurulatih FELDA United itu mengikat kontrak selama setahun musim ini bersama skuad Terengganu dan kontraknya berakhir pada 30 November depan.

Terdahulu Irfan bersama pemain dan pengurusan skuad Penyu dengan kerjasama Kelab Bolasepak Raja Permin FC mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu klinik bola sepak kepada pemain cilik berusia 7 hingga 12 tahun di Padang Taman Permint Jaya, Chendering, dekat sini kelmarin.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 4:27pm
d