arena

Hafifi serah isu doping kepada PABM

Oleh Sukhairi Thani

PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014, Hafifi Mansor terus membisu dan difahamkan bergantung 100 peratus kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk menyelesaikan isu doping dihadapinya.

Bagaimanapun sumber rapat kepada Hafifi berkata, atlet yang beraksi dalam kelas 69 kilogram itu masih ‘celaru’ dengan isu berkenaan apatah lagi keputusan positif sampel A air kencingnya hanya didedahkan selepas tujuh bulan diambil Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Kelmarin, PABM menerusi pemangku setiausahanya, Abu Hanapah Ismail menyatakan sampel B Hafifi akan diuji di makmal di Sydney dan masih belum memutuskan siapakah yang akan menyaksikan sampel itu dibuka nanti.

Apa pun, Hafifi secara peribadi dikatakan mahu melihat sendiri sampel B air kencingnya diuji di Sydney namun seperti PABM, dia tetap memikirkan mengenai kos perbelanjaan tinggi ke sana.

Sehubungan itu, Hafifi menyerahkan sepenuhnya kepada PABM untuk mencari penyelesaian terbaik demi masa depan kariernya.

“Secara peribadi Hafifi mahu sampel B dibuka,” kata sumber. “Namun sekiranya hendak pergi sendiri, dia tetap memikirkan mengenai kos perbelanjaan tinggi ke sana, ini termasuklah penginapan, penerbangan dan sebagainya.”

Jaguh angkat berat negara itu berdepan penggantungan empat tahun jika didapati positif selepas sampel B dijalankan nanti dan sumber berkata, Hafifi mengharapkan PABM dapat mengemukakan rayuan sekira keputusannya tetap sama.

“Hafifi mengharapkan persatuan dapat berbincang dengan IWF supaya mengemukakan rayuan hukuman.

“Dia sudah menjaga pemakanan dan tidak tahu dari mana datangnya bahan terlarang itu boleh berada dalam tubuhnya,” katanya.

Difahamkan ujian air kencing Hafifi turut diambil ketika meraih pingat emas pada Kejohanan Kelayakan Komanwel di Gold Coast bulan lalu.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 9:22pm
d