arena

Tun Ameerul jagoan remaja Asia

Oleh Ajitpal Singh

SKUAD bowling negara bermula langkah kanan apabila merangkul satu pingat emas dan satu perak pada hari pembukaan Kejohanan Remaja Asia di Manila, hari ini.

Biarpun membuat penampilan julung kali, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam meneruskan kekuatan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki apabila memenangi emas sekali gus menyamai rekod Rafiq Ismail menang emas di Macau dua tahun lalu.

Dalam acara perseorangan wanita, Nur Amirah Auni Azman terlepas pingat emas apabila dia melakukan split pada frame terakhir dalam permainan terakhir dan terpaksa berpuas hati dengan perak.

Tun Ameerul, 18, mendahului pada permainan kedua hinggalah permainan berakhir dengan melakukan 214, 247, 268, 223, 190, 228 untuk keseluruhan 1,370 jatuhan pin, dengan purata 228.33 pin, bagi meninggalkan Takumi Hagasaki dari Jepun dengan perbezaan 72 pin.

Pemain Bahrain, Ahmed Al Awadhi memenangi gangsa dengan 1,287 pin.

Seorang lagi pemain negara, Brandon Ting menamatkan saingan di tempat ke-26 dengan 1,161 pin diikuti Arif Iskandar (ke-31 - 1,108 pin) dan Hafiz Zainuddin (ke-43 - 1,074 pin).

“Ia kemenangan manis untuk menang pada penampilan sulung saya di Kejohanan Remaja Asia,” kata Tun Ameerul yang memenangi satu perak (beregu) dan satu gangsa (masters) pada Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat tahun lalu.

“Saya tak boleh minta lebih, tapi saya perlu kekal tenang kerana saya masih ada acara yang perlu disertai di sini.

“Jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dan mata di sini. Hari ini, saya hanya fokus kepada balingan dalam setiap frame.

“Malah ketika jurulatih memberitahu saya hanya perlukan 170 pin di permainan terakhir untuk memenangi gelaran ini, saya masih melakukan yang terbaik dan menghasilkan 228 pin.”

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 10:31pm
d