arena

Karier Koeman bersama Toffees berakhir

Oleh AFP

LONDON: Ronald Koeman muncul pengurus ketiga Liga Perdana Inggeris disingkirkan musim ini apabila beliau dipecat oleh Everton hari ini.

Pengendali berusia 54 tahun dari Belanda itu - yang mengemudi Everton ke tangga ketujuh dalam musim sulungnya penggal lalu - menjadi mangsa berikutan permulaan hambar awal musim di sebalik berbelanja £140 juta (RM782 juta) pada musim panas lalu.

Kekalahan 2-5 di tangan Arsenal di laman sendiri semalam yang menyaksikan mereka terjerumus ke tiga tangga tercorot menjadi penentu nasibnya dan di sebalik turun mengendalikan latihan hari ini, beliau menerima kunjungan daripada pengerusi kelab Bill Kenwright.

“Everton mengesahkan Ronald Koeman sudah meninggalkan kelab ini,” menurut kenyataan Everton.

“Pengerusi Bill Kenwright, lembaga pengarah dan pemegang saham utama Farhad Moshiri berterima kasih kepada Ronald kerana khidmat diberikannya kepada kelab sepanjang 16 bulan terakhir dan mengemudi kelab ke tangga ketujuh Liga Perdana musim lalu.”

Koeman, yang tiba di Goodison Park selepas kejayaan cemerlang mengendalikan Southampton, berbelanja besar ke atas pemain seperti pemain kebangsaan Iceland, Gylfi Sigurdsson pada musim panas lalu.

Namun, di sebalik turut memujuk bekas bintang remaja Wayne Rooney kembali dari Manchester United, beliau gagal menggantikan penjaring terbanyak Romelu Lukaku apabila pemain Arsenal, Olivier Giroud enggan menyertai mereka.

Koeman menyertai warga senegara Frank de Boer – dipecat oleh Crystal Palace selepas hanya empat aksi Liga Perdana - dan Craig Shakespeare disingkir Leicester minggu lalu sebagai pengurus liga utama yang meninggalkan pasukan musim ini.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 10:35pm
d