arena

Subahan mohon pertimbang Program Podium

Oleh Saiful Affendy Sapran

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) berharap kejayaan skuad lelaki negara mencipta sejarah dengan muncul naib juara di saingan Piala Asia akan membolehkan sukan itu dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Program Podium.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jika peluang itu diberikan, beliau memberi jaminan skuad hoki lelaki tidak akan mengecewakan negara.

“Seperti saya katakan sebelum ini, (Program) Podium sepatutnya ada sukan hoki tapi saya biarkan kepada budi bicara menteri (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) kerana beliau lebih arif dan tahu.

“Dengan kejayaan terbaru ini, saya berharap sangat peluang dapat diberikan kepada sukan hoki terutamanya untuk skuad hoki lelaki.

“Kami berjanj tidak akan menghampakan kerana selepas ini saya yakin prestasi skuad negara akan lebih baik dan meningkat.

“Untuk itu, saya berharap kerajaan akan dapat membantu sukan hoki dengan menyenaraikannya ke dalam Program Podium,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan skuad lelaki yang pulang dari Dhaka, Bangladesh, hari ini.

Khairy menerusi laporan sebelum ini berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya hoki dimasukkan ke dalam Program Podium menerusi Jawatankuasa Penilaian Program Podium selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Ia susulan kejayaan skuad negara layak secara merit beraksi di Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Program Podium inisiatif jangka panjang untuk memastikan atlet negara mencapai kecemerlangan di pentas dunia termasuk pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 10:41pm
d