arena

Shapovalov teruskan aksi cemerlang

Oleh AFP

BASEL, Switzerland: Bintang muda Kanada, Denis Shapovalov terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain Jepun, Yuichi Sugita 4-6, 6-2, 7-6 (7/3) dalam aksi pusingan pertama kejohanan Dalam Dewan Swiss, semalam.

Pemain berusia 18 tahun yang menghuni ranking 49 dunia dan membuat penampilan sulung di Basel itu meneruskan kempen baiknya musim ini dengan layak ke saingan ATP NextGen Final, bulan depan.

Shapovalov dijadual menentang sama ada pemain Belgium, Ruben Bemelmans atau pilihan ketujuh dari Perancis, Adrian Mannarino di peringkat seterusnya.

Shapovalov sebelum ini membuka kempen di gelanggang utama pada Ogos lalu dengan kemenangan menakjubkan ke atas Rafael Nadal di negara kelahirannya di Montreal sebelum mara ke peringkat 16 terakhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Flushing Meadows.

Semalam, dia menjadi pemain keempat menempah tiket ke saingan tahunan ATP NextGen Final di Milan, menyertai bintang muda Jerman Alexander Zverev dan dua jaguh Russia, Andrey Rublev serta Karen Khachanov.

Dia begitupun bermula perlahan menentang Sugita yang mara ke suku akhir Cincinnati dua bulan lalu selepas tewas set pembukaan.

“Ia satu pertarungan, saya perlu bertarung untuk kekal,” kata Shapovalov. “Saya perlu meningkatkan permainan saya bagi pusingan berikutnya.”

Pilihan keenam dari Sepanyol Roberto Bautista Agut pula menewaskan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin 6-0, 6-3 untuk mara.

Kejohanan di Basel kali ini turut disertai juara tujuh kali, Roger Federer yang sudah mengharungi 12 aksi final di halaman sendiri sepanjang 17 penampilan di St Jakobshalle.

Pilihan utama itu meraih kemenangan kelayakan ATP pertama di gelanggang sama 20 tahun lalu pada usia 17 tahun dan sedang memburu gelaran ketujuhnya tahun ini untuk mengatasi Rafael Nadal bagi mahkota nombor satu dunia.

Penyandang juara Marin Cilic pula diletakkan sebagai pilihan kedua ketika pemain Croatia itu bergelut untuk meraih tiket ke ATP Final di London bulan depan.

Bekas pemenang Terbuka AS, Juan Martin Del Potro diletakkan pilihan keempat di atas pemain Belgium, David Goffin.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 9:41am
d