arena

Woods kembali Disember ini

MIAMI: Tiger Woods (gambar) yang kembali mendapat sentuhan permainan sebenarnya, dijangka akan kembali beraksi Disember ini jika tahap kesihatannya baik.

Semalam juara major 14 kali itu memuat naik video di laman Twitter yang menunjukkan dia melakukan pukulan ‘Stinger’ menggunakan iron. Lapan hari sebelumnya, dia memuat naik video pukulannya menggunakan driver.

Woods yang beberapa kali menjalani pembedahan belakang, hanya dibenarkan kembali meneruskan aktiviti golf baru-baru ini selepas enam bulan mengharungi proses pemulihan berikutan pembedahan keempatnya pada April.

Woods, 41, menggunakan pukulan Stinger ketika zaman kegemilangannya sedekad lalu, tetapi tidak beraksi sejak Februari di mana dia menarik diri dari Dubai Desert Classic. Kali terakhir dia memenangi kejohanan major ialah di Terbuka Amerika Syarikat 2008.

Disember tahun lalu, Woods membuat penampilan di Hero World Challenge - kejohanan jemputan di Bahamas untuk tabung amalnya - dan jika kesihatan dan permainannya mengizinkan, dia mungkin kembali beraksi Disember ini.

Woods dilantik sebagai penolong kapten pasukan Piala Presiden Amerika Syarikat bulan lalu dan berkata dia masih belum pasti sama ada akan kembali untuk saingan kompetitif.

- AFP

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 9:46am
d