arena

Skuad Chun Yong intai tiket Taiwan

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD futsal lelaki negara menyasarkan empat kedudukan terbaik pada Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Ho Chi Minh, Vietnam bermula Khamis ini dalam usaha merebut empat slot ASEAN layak secara merit ke Kejuaraan AFC di Taiwan, Februari depan.

Ketua jurulatihnya, Chiew Chun Yong berkata, sasaran itu dianggap cukup realistik berdasarkan kejayaan skuad sama memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila Malaysia tewas 3-4 di tangan jaguh dunia, Thailand pada final.

“Kami sudah mengadakan persiapan rapi sebaik Sukan SEA berakhir dan sempat menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Qatar di sana dengan mencatat satu kemenangan dan satu seri.

“Saya lihat banyak perkara positif berlaku dengan beberapa kelemahan sebelum ini berjaya diatasi dengan kami kini bersedia beraksi di Kejuaraan AFF pula.

“Untuk saingan kali ini, kami diundi dalam kumpulan yang agak sukar terutama apabila terpaksa berdepan Thailand dalam kumpulan selain Timor Leste dan Laos nanti.

“Apa pun kami tetap meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir bagi membolehkan merebut empat tiket terbaik dari Asia Tenggara untuk layak ke pusingan akhir tahun depan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Sebagai persiapan akhir menghadapi Kejuaraan AFF, skuad 14 pemain itu bermain dua aksi pemanas badan bertemu skuad kebangsaan Qatar di Doha yang menyaksikan skuad kendalian Chun Yong seri 1-1 pada aksi pertama (13 Oktober) dan menang 5-4 pada aksi kedua (15 Oktober).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan Timor Leste Khamis ini diikuti Laos keesokannya sebelum menamatkan saingan kumpulan dengan menentang juara bertahan, Thailand Sabtu ini.

Sementara itu, saingan Kumpulan A juga turut sengit dengan tuan rumah Vietnam, Myanmar, Brunei, Filipina dan Indonesia. Undian semula terpaksa diadakan selepas penarikan diri Australia pada saat akhir.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir pada 1 November, sekali gus mengisi empat slot ASEAN layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC di Taiwan.

“Saya sentiasa ingatkan pemain supaya menganggap setiap perlawanan sebagai perlawanan akhir dan harus mencari kemenangan bagi membolehkan kami memungut enam mata maksimum ketika bertemu Laos dan Timor Leste,” katanya.

Pada edisi di Bangkok dua tahun lalu, skuad negara kendalian jurulatih Marcelo Serpa menamatkan saingan di tangga ketiga selepas mudah membelasah Timor-Leste 8-1 untuk berada di belakang Thailand (juara) dan Myanmar (naib juara).

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 3:35pm
d