arena

Ameer-Amir tak sabar aksi sulung

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS lapan bulan berehat akibat kecederaan ligamen lutut ACL (anterior cruciate ligament), pemain beregu lelaki negara, Ameer Amri Zainuddin bersedia untuk melakukan penampilan sulung pada kejohanan Cabaran Antarabangsa Indonesia esok.

Dia yang mengalami kecederaan itu ketika mewakili negara pada Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol tahun lalu, akan bergandingan dengan Amir Syazwan Al Razi Shahriman Bakhtir dan menentang wakil tuan rumah, Kevin Ezra-Hendra Gustiawan di pusingan pertama.

“Ini kejohanan pertama saya selepas berehat panjang dan kami pula baru bergandingan bersama dalam tempoh sebulan. Pada awalnya memang saya akui kami agak sukar tapi Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki negara) menasihatkan kami supaya banyak berkomunikasi,” katanya.

Jelas Ameer, gandingannya bersama Amir dilihat memiliki kelebihan tersendiri apabila dia menggunakan tangan kanan, manakala pasangannya pula pemain kidal.

“Sebelum ini saya tidak pernah bergandingan dengan Amir cuma kami sering bertemu di beberapa kejohanan domestik dan bagi penampilan sulung kami di kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa ini, kami mahu mara sejauh mungkin.

“Bagi saya sendiri memang ada perasaan takut selepas kecederaan ACL tapi saya perlu sedikit demi sedikit melupakan perkara ini untuk lebih berasa selesa di gelanggang,” katanya.

Jika berjaya melepasi pusingan pertama, Ameer-Amir dijangka berdepan pilihan ketujuh juga dari Indonesia, Lukhi Apri Nugroho-Tedi Supriadi.

Tahun lalu wakil negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen muncul juara selepas menumpaskan rakan senegara, Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting 21-15, 21-19.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 8:13pm
d