arena

'Selamat maju jaya Everton'

Oleh Reuters

LONDON: Ronald Koeman meluahkan kekecewaannya selepas dipecat sebagai pengurus Everton, namun berterima kasih kepada pemain dan pegawainya atas kerja dan komitmen yang diberikan ketika beliau bersama kelab itu.

Pengurus dari Belanda itu dipecat semalam, selepas Everton merudum ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan memalukan 2-5 di tangan Arsenal, Ahad lalu.

“Saya mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada pemain dan pegawai atas segala kerja dan komitmen diberikan sepanjang 16 bulan saya sebagai pengurus Everton,” kata Koeman dalam akaun Twitternya.

“Saya mahu berterima kasih kepada (pengerusi) Bill Kenwright, (pemegang saham utama) Farhad Moshiri dan lembaga pengarah Everton kerana peluang diberikan untuk mengurus kelab hebat ini dan kepada peminat juga yang memberi sokongan padu selama ini.

“Secara peribadi, saya kecewa ketika ini tapi saya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan pada masa akan datang.”

Pengurus berusia 54 tahun itu menggantikan Roberto Martinez di Goodison Park, menghabiskan peruntukan yang besar bagi menguatkan skuad ketika jendela perpindahan lalu tetapi Everton mencatat permulaan terburuk awal musim sejak 2005-2006.

Beliau muncul pengurus Liga Perdana ketiga disingkirkan musim ini, selepas Crystal Palace memecat Frank De Boer sesudah hanya lima perlawanan dan Leicester City memecat Craig Shakespeare minggu lalu.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 9:32pm
d