arena

'Kami bukan pasukan belasahan'

Oleh Aziman Rosdi

“KAMI tidak akan pergi ke sana untuk dibelasah!” Itu keyakinan yang disuarakan jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee mengenai peluang anak buahnya selepas diundi bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi di Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Selepas majlis undian pusingan akhir kejohanan yang berlangsung di Changzhou hari ini, Malaysia dilihat berdepan laluan sukar apabila diletakkan dalam Kumpulan C bersama tiga pasukan gergasi Asia Barat itu.

Iraq juara edisi pertama 2013 di Oman dengan menewaskan Arab Saudi di final 1-0, manakala Jordan menduduki tempat ketiga dengan mengalahkan Korea Selatan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan pada 2016, Iraq tetap hebat apabila mengalahkan Qatar 2-1 untuk meraih tempat ketiga.

Bagaimanapun, Kim Swee yang membawa pasukan layak secara automatik buat kali pertama tetap meletakkan harapan tinggi untuk anak buahnya memberikan tentangan.

“Secara peribadi, sebaik kita berjaya layak ke pusingan akhir AFC B-23 di China, kita tiada pilihan lain melainkan bersiap sedia dengan lebih awal. Saya tidak rasa kita akan menjadi pasukan belasahan nanti. Ini kerana kita pernah bermain dengan pasukan dari negara Arab ini.”

“Jurang tidak begitu besar jika kita bandingkan seperti Korea Selatan atau Jepun. Dalam saingan peringkat umur ini, ia tidak begitu jauh jurang untuk mana-mana pasukan,” katanya ketika dihubungi di China, hari ini.

Kim Swee berkata, beliau lebih suka memikirkan soal persiapan pasukannya daripada sibuk berbicara mengenai kekuatan lawan.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi tapi kami akan cuba yang terbaik dalam usaha melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Ia bukan tugas mudah tetapi bukan mustahil jika kita membuat perancangan serta persiapan yang baik,” katanya yang membimbing pasukan meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Keputusan undian

KUMPULAN A

China, Qatar, Uzbekistan, Oman

KUMPULAN B

Jepun, Korea Utara, Thailand, Palestin

KUMPULAN C

Iraq, Jordan, Arab Saudi, MALAYSIA

KUMPULAN D

Korea Selatan, Australia, Syria, Vietnam

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 10:24pm
d