arena

Samba Bola

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Perai : Sports Unite dan Penang Kickers akan menganjurkan Program Karnival Samba Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah Bawah 12 Tahun merebut Piala Datuk Shukor Salleh yang bakal berlangsung pada 28 Oktober bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Presiden Penang Kickers, Johari Maina berkata, pertandingan kali keempat itu akan diadakan di Padang Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jalan Baru, Perai dan bakal menampilkan 32 pasukan membabitkan lapan kumpulan sekitar Seberang Perai dan Georgetown.

Beliau berkata, objektif penganjuran adalah membangunkan bola sepak peringkat akar umbi dan melahirkan semangat perpaduan antara pemain muda berbilang kaum.

“Antara syarat penting yang perlu dipatuhi adalah semua pasukan mesti menurunkan sekurang-kurangnya dua pemain berbilang kaum sepanjang karnival ini.

“Penyertaan adalah percuma dan masih mengekalkan tema ‘Samba Bola’ dan kami turut menerima beberapa penajaan bagi penganjuran kali ini,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Turut hadir, tiga legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh, Datuk Mohamad Bakar dan Moey Yoke Ham.

Dalam pertandingan itu, juara, naib juara, tempat ketiga hingga kelapan akan membawa pulang piala, pingat, barangan penaja dan sijil penyertaan.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 8:12am
d