arena

Dua gol Icardi lonjak Inter

Oleh AFP

MILAN: Dua gol jaringan Mauro Icardi melonjak Inter Milan ke persada Serie A selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria, awal pagi tadi.

Bagaimanapun tuan rumah yang mendahului 3-0 selepas 54 minit permainan nyaris dicemaskan Sampdoria yang kembali merapatkan kedudukan menerusi jaringan lewat Dawid Kownacki dan Fabio Quagliarella.

Menariknya, ketiga-tiga gol Inter dijaringkan bekas pemain Sampdoria iaitu Milan Skriniar pada minit ke-18 dan Icardi (ke-32, 54) untuk gol peribadinya ke-11 musim ini.

Kemenangan itu menyaksikan Inter muncul pendahulu sementara dengan 26 mata daripada 10 perlawanan - satu mata di depan Napoli yang akan turun menentang Genoa, malam ini.

Walaupun meledak dua gol, Icardi amat berang dengan cara pasukannya beraksi di babak kedua.

“Kami perlu menanganinya dengan lebih baik dan tidak boleh melepaskan dua gol mudah seperti ini,” kata penyerang Argentina itu.

“Ia memang satu kejayaan membanggakan, tetapi perjalanan kami masih jauh dan kami perlu terus memperagakan aksi terbaik.”

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 10:05am
d