arena

Barca tetap garang tanpa tiga tonggak

Oleh AFP

MADRID: Barcelona yang turun tanpa tonggak utamanya mudah mengatasi kelab divisyen tiga Real Murcia 3-0 dalam perlawanan pertama kelompok 32 terakhir Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi.

Degan Lionel Messi, Luis Suarez dan Andres Iniesta direhatkan, Paco Alcacer, Gerard Deulofeu dan Jose Manuel Arnaiz yang membuat penampilan sulungnya, memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol buat penyandang juara itu.

“Saya gembira kerana hari ini kami bermain dengan pemain daripada pasukan B dan mereka yang tidak kerap diturunkan. Ia adalah ujian terbaik buat mereka,” kata pengendali Barca Ernesto Valverde.

Barca kini memenangi 12 dan seri sekali dalam 13 perlawanan akhir semua pertandingan, tetapi mengambil masa sebelum dapat menembusi benteng lawannya itu.

Malah Murcia hampir mendahului permainan apabila Fernando Llorente melepaskan rembatan jarak dekat di pertengahan babak pertama.

Alcacer menjaringkan gol pertamanya sejak final kejohanan sama musim lalu, seminit sebelum rehat hasil hantaran Deulofeu.

Bekas pemain sayap Everton, Deulofeu yang menjaringkan gol pertamanya untuk Barca ketika bertemu Malaga minggu lalu, menambah jaringan tujuh minit selepas permainan bersambung.

Arnaiz satu-satunya pemain muda Barca yang menyerlah untuk skuad simpanan musim ini dalam divisyen dua, dan diberi kepercayaan oleh Valverde untuk penampilan sulung bersama skuad senior.

Dengan aksi timbal balik akan berlangsung di Camp Nou pada Januari, Barca kini mampu memberi tumpuan kepada mempertahankan kelebihan empat mata di persada La Liga dan mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 11:13am
d