arena

Federer langkah kanan

Oleh AFP

BASEL, Switzerland: Roger Federer meraih kemenangan mudah di pusingan pertama kejohanan tenis dalam dewan Swiss Indoors selepas mengetepikan pemain muda Amerika Syarikat, Frances Tiafoe 6-1, 6-3 awal pagi tadi.

Federer, yang masih hangat dengan kejayaan menewaskan Rafael Nadal di pentas final terbuka Shanghai minggu lalu, meneruskan prestasi terbaiknya di depan penyokong sendiri dalam saingan yang sudah dimenanginya tujuh kali.

Bintang Switzerland berusia 36 tahun itu, mudah mematahkan setiap pukulan lawan berusia 19 tahun itu, yang berjaya mengheretnya beraksi lima set di pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS), tahun ini.

Federer seterusnya akan bertemu pemain Perancis, Benoit Paire yang mengetepikan pemain AS, Steve Johnson 6-3, 7-6 (7/4).

“Saya berasa baik ketika ini. Perlawanan dalam tempoh singkat tidak membimbangkan saya kerana saya mempunyai tempoh rehat selama sehari untuk esok. Malah, jika dibawa ke tiga set pun tidak mengapa,” kata Federer.

“Selagi saya menang ia sudah cukup bagus. Saya gembira untuk menang perlawanan pertama. Frances begitu liat di Terbuka AS.”

“Untuk aksi menentang Paire saya menjangkakan aksi sengit, dia pemain yang berbahaya terutama bagi saingan dalam dewan.”

Juara bertahan dan pilihan kedua, Marin Cilic mara ke pusingan kedua hanya dalam tempoh 30 minit selepas pemain Jerman Florian Mayer menarik diri ketika ketinggalan 6-3.

Pilihan ketiga David Goffin mengalahkan pemain Jerman Peter Gojowczyk 6-2, 7-5 dan pilihan kelima Jack Sock dari AS mengatasi halangan pemain Kanada Vasek Pospisil 3-6, 7-6 (9/7), 7-5.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 11:29am
d