arena

Tze Liang tekad perkemas terjunan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara 3 meter papan anjal Sukan Komanwel Glasgow 2014, Ooi Tze Liang mengaku peluangnya untuk mengungguli acara itu pada Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur yang akan bermula esok adalah sukar.

Katanya tidak mudah bagi dirinya menyumbangkan emas apatah lagi dengan penyertaan penerjun dari 10 negara selain kehadiran penerjun terkemuka dari China, Jepun dan Great Britain.

Bagaimanapun, penerjun lelaki nombor satu negara itu berjanji memperagakan aksi terbaik dan tidak akan mengalah untuk cuba menghadiahkan sesuatu buat negara.

“Peluang beraksi di tempat sendiri tidak akan dilepaskan. Saya mahu memberikan yang terbaik untuk penyokong dan negara.”

“Persiapan kini berjalan lancar dan hanya menunggu hari pertandingan. Penyertaan dari banyak negara sebenarnya memberi cabaran yang menarik untuk saya mencabar diri kali ini.”

“Saya harap dapat tenangkan fikiran dan hanya fokus kepada terjunan saja dan selebihnya terpulang kepada tuhan,” katanya yang kini tidak lagi dibelenggu kecederaan.

Atlet berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu akan turun beraksi dalam acara kegemarannya iaitu 3m papan anjal individu dan juga 3m terjun seirama bergandingan bersama Ahmad Amsyar Azman.

Meraih tujuh emas sepanjang penyertaannya di Sukan SEA dan menjadi pertaruhan terbaik negara meraih emas di Sukan Komanwel tahun depan, Tze Liang berkata jadualnya sudah mula padat selepas mendapat cuti rehat sejurus selepas tamatnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Selepas GP Kuala Lumpur, dia akan berlepas ke Gold Coast untuk menyertai siri seterusnya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 3:39pm
d