arena

'Bagaimana dengan sepak takraw dan olahraga?'

Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi (gambar) menegaskan, Malaysian Tigers wajar diserap ke dalam Program Podium andai tidak mahu senasib dengan Pakistan yang kini mengalami penurunan prestasi dan ranking dunia.

Pakistan sebelum ini dikenali sebagai kuasa besar hoki, tetapi pengurangan bajet bermula 2010 berpunca daripada ketidakstabilan politik di negara itu menyaksikan bekas juara dunia empat kali itu kini tersungkur ke ranking ke-14 dunia.

Walaupun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah menjalankan tugas termasuk membawa masuk beberapa penaja besar, bekas penyerang yang pernah beraksi di tiga Sukan Olimpik itu menegaskan untuk mencapai ke satu tahap lebih tinggi skuad negara memerlukan sokongan yang lebih besar.

“Selain Pakistan, masalah sama juga dihadapi Korea Selatan yang mana kekangan kewangan menyebabkan tiada kesinambungan pembangunan di sana dan hasilnya kini mereka bergelut untuk mengatasi pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia.”

“Atas sebab itu, saya merasakan perlu untuk skuad negara dimasukkan ke dalam Program Podium yang mempunyai satu program yang begitu lengkap untuk merealisasikan sasaran emas di Sukan Asia 2018,” katanya semalam.

Untuk rekod, bajet bagi skuad hoki Pakistan mula dicatu selepas mendapat tempat tercorot di Piala Dunia 2010 gara-gara masalah ketidakstabilan politik dan langkah mundur itu membawa kepada kegagalan mereka melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016 buat kali pertama.

Malah, Mirnawan percaya hanya Program Podium dapat memberi anjakan tambahan kepada skuad negara yang kini menduduki ranking ke-12 dunia, apatah lagi tahun depan menyaksikan Malaysia akan bertanding dalam dua kejohanan utama - Piala Dunia 2018 dan Sukan Asia 2018.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 4:03pm
d