arena

Tiga pemain negara langkah kanan

Oleh Ferzalfie Fauzi

TIGA pemain perseorangan wanita negara, M Thinaah, Lim Yin Fun (gambar) dan S Kisona memulakan aksi di Cabaran Indonesia di Gelora Universitas Semarang dengan langkah kanan apabila menyingkirkan wakil tuan rumah pada pusingan pertama hari ini.

Thinaah yang mempamerkan prestasi kurang konsisten musim ini berjaya menumpaskan Isra Faradilla 21-15, 23-21, manakala Yin Fun yang juga pilihan pertama mengalahkan Olivia Chelin Maria Kambey 21-12, 21-12 dan Kisona pula membenam cabaran Ana Rovita 24-22, 21-9.

Menurut Thinaah, dia turun dengan penuh yakin dan gembira apabila mendapat momentum kemenangan untuk mara ke pusingan kedua menentang pilihan keempat juga dari Indonesia, Asty Dwi Widyaningrum, esok.

"Saya berharap selepas ini saya tidak hilang fokus ketika cuba meraih mata penting. Apapun saya gembira kerana berjaya melepasi pusingan pertama," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Thinaah juga mengakui Cabaran Indonesia pentas terbaik untuk kembali bangkit musim ini tatkala pencapaian terbaiknya hanya mara ke separuh akhir Siri Antarabangsa Malaysia.

"Memang saya harap boleh bangkit semula, selepas banyak belajar daripada kesilapan lalu dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Saya mahu fokus aksi seterusnya dan memberikan permainan terbaik setiap kali turun gelanggang," katanya yang beraksi di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu di Bilbao, Sepanyol.

Yin Fun akan berdepan seorang lagi pemain Indonesia, Silvi Wulandari dan Kisona juga akan turun menentang wakil tuan rumah, Gabriela Meilani Moningka.

Turut mara perseorangan lelaki negara yang juga pilihan ketujuh, Cheam June Wei selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Gatjra Piliang Fiqihila Cupu 17-21, 21-15, 21-5, manakala Soo Teck Zhi pula mengalahkan Muhammad Rehan Diaz (Indonesia) 21-10, 12-21, 21-18.

Bagaimanapun, juara kebangsaan, Lim Chi Wing terus mempamerkan aksi kurang konsisten apabila tumpas kepada Chico Aura Dwi Wardoyo juga dari Indonesia 15-21, 22-24 dan Chong Yee Han pula tewas 21-19, 10-21, 22-24 kepada seorang lagi wakil tuan rumah, Fikri Ihsandi Hadmadi.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 11:29pm
d