arena

Kita perlu menang!

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketua pasukan futsal lelaki negara, Mohd Firdaus Razali menganggap mereka tidak mempunyai pilihan selain perlu memulakan aksi pertama Kejuaraan Futsal AFF 2017 dengan kemenangan ke atas Timor Leste dalam saingan Kumpulan B hari ini jika mahu melangkah ke separuh akhir.

Jelas Firdaus, kemenangan pada perlawanan sulung itu amat penting bagi menjamin kedudukan Malaysia untuk meneruskan kemaraan ke saingan kalah mati kerana dua lagi pencabar yang bakal ditentang iaitu Laos dan Thailand adalah jauh lebih sukar.

Katanya, ketika ini pasukan negara berada pada tahap terbaik selepas meraih dua keputusan positif dalam aksi pemanas badan berdepan skuad kebangsaan Qatar yang menyaksikan mereka meraih satu kemenangan (5-4) dan satu seri (1-1).

“Jika kita menang ke atas Timor Leste sudah tentu harapan untuk mara ke separuh akhir terbuka luas. Tetapi kalau kita kalah, laluan memang amat sempit kerana Laos dan juara bertahan, Thailand bakal menanti,” katanya.

Selepas menentang Timor Leste, anak didik Chiew Chun Yong dijadual bertemu Laos pada aksi kedua esok sebelum menutup kempen kumpulan dengan menentang pasukan di tangga ke-17 ranking FIFA, Thailand sehari kemudian.

Bagaimanapun, seandainya berjaya meraih dua kemenangan awal, ia sudah cukup menjamin laluan ke separuh akhir sekali gus layak ke Kejuaraan Futsal AFC di Taiwan, Februari depan.

“Kita sudah membuat persiapan rapi. Perlawanan pertama wajib menang dan perlu memburu seberapa banyak gol.

“Apa yang penting, berapa sekalipun gol nanti, kita perlu menang. Kita tidak memandang mudah cabaran Timor Leste kerana mereka juga sebuah pasukan bagus.

“Hanya kemenangan boleh meredakan tekanan sebelum berdepan Laos yang juga pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir dari kumpulan,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:50am
d