arena

'UKM bukan pelengkap Liga Perdana'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pendatang baru Liga Perdana, UKM FC berazam untuk memberi tentangan hebat kepada 11 lagi pasukan yang bersaing dalam liga kedua negara itu musim depan.

Walaupun tidak diberikan sebarang harapan tinggi pada awal saingan Piala FAM musim ini, skuad kendalian Sulaiman Hussin sebaliknya bangkit mengejutkan ramai pihak apabila berjaya memacu UKM untuk muncul naib juara di belakang Sime Darby FC ketika mereka hanya dibarisi pemain berstatus penuntut di Universiti terbabit.

Jelas Sulaiman, berdasarkan kejayaan itu, tidak mustahil anak didiknya mampu melakar kejutan kedua pada musim depan biarpun bakal menentang pasukan lebih berpengalaman.

“Kami bukan pasukan belasahan dan bukan hadir untuk sekadar pelengkap jadual di Liga Perdana musim depan, tetapi kalau boleh kami nak terus kekal dan cuba berada di kelompok lima terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Mungkin dari sudut pengalaman, jurangnya amat ketara sekali namun saya percaya kami juga ada misi tersendiri untuk dicapai.

“Lihat saja PKNP FC (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), mereka juga pasukan tanpa bintang dan baru dalam kancah liga tempatan. Tetapi di musim pertama saja, mereka berjaya berada di kelompok lima teratas liga selain mampu mara ke suku akhir Piala Malaysia.

“Jadi bagi saya, tidak ada apa yang mustahil dalam bola sepak asalkan pemain menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi, kejutan mampu berlaku,” katanya yang bercadang untuk mencari tiga tonggak import bagi memantapkan pasukan.

Menurutnya lagi, beliau bersedia untuk menuntut ilmu daripada pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yang diakuinya antara jurulatih terbaik berdasarkan pencapaiannya musim ini.

“Saya bercadang nak jumpa Burn (Abu Bakar) dan belajar bagaimana beliau mampu membimbing PKNP tanpa kehadiran ramai pemain profesional.

“UKM juga rata-rata menggunakan pemain semi profesional kerana kebanyakannya mereka adalah penuntut, jadi Burn ialah contoh terbaik untuk diikuti,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 10:16am
d