arena

Kebangkitan luar biasa Caroline

Oleh AFP

SINGAPURA: Pemain nombor lapan dunia, Caroline Garcia (gambar) berkata dia kini cuba untuk memperkuatkan emosi selepas dilihat menangis sebelum bangkit meraih kemenangan ke atas Elina Svitolina di kejohanan WTA Finals, semalam.

Ketinggalan 5-3 dan berada di ambang penyingkiran, Garcia kembali bangkit untuk meraih kemenangan 6-7 (9/7), 6-3, 7-5 dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam dan 44 minit itu.

Ia adalah satu kebangkitan luar biasa daripada Garcia selepas terlepas dua peluang untuk memenangi set tie break pertama. Garcia yang dilihat beremosi ketika itu, kembali ke bangku dan menangis sebelum ditenangkan jurulatih dan bapanya, Louis-Paul Garcia.

Garcia berkata, kekecewaan tewas di set itu sangat memeritkan. “Saya tidak dapat mengawalnya dengan sangat baik,” katanya kepada media selepas perlawanan.

“Saya amat kecewa apabila tewas set pertama dan saya cuba untuk bangkit dan melupakan apa yang sudah berlaku.”

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia cuba untuk memperbaiki emosinya. “Saya bermain dengan emosi dan kadangkala ia keterlaluan,” katanya. “Kadangkala, kamu hanya harus melupakannya dan terus melangkah.”

Garcia berjaya bangkit untuk meraih kemenangan dan dilihat tampak seakan berada di dalam keadaan bahaya di set ketiga.

Pemain dari Perancis itu berkata dia hanya meneruskan perlawanan apabila ketinggalan 5-3. “Saya cuba untuk menjadi lebih agresif,” katanya. “Saya lebih tepat. Saya tenang ketika rali panjang dan ia mengubah segala-galanya.”

Garcia boleh berada di puncak Kumpulan Merah sekiranya dia dapat menewaskan Caroline Wozniacki dan mengharapkan Svitolina mampu menewaskan pemain nombor satu dunia, Simona Halep, esok.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 12:04pm
d