arena

Aiman bangga jersi putih sulung

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff (gambar) berharap kejayaannya muncul pemenang jersi putih (pelumba muda terbaik) Tour de Selangor 2017 mampu melonjakkan dirinya untuk mencapai kejayaan lebih besar selepas ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu, yang mengumpul masa 13 jam 6 minit dan 4 saat selepas mengharungi lima peringkat pada perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu, meninggalkan pencabar terdekat dari Selangor, Azli Najmi Zulkefli dengan perbezaan tiga minit 19 saat pada saingan yang berakhir Sabtu lalu.

“Ini kejayaan jersi pertama dalam karier saya. Saya gembira mampu menang terutamanya selepas menyertai TSG sejak Jun lalu dan ini perlumbaan ketiga bersama pasukan ini,” jelas pelumba kelahiran Terengganu itu.

Jelasnya, ia kejayaan yang sempurna kerana berjaya menyarung jersi sejak peringkat awal dan mempertahankannya hingga peringkat kelima bermula di Bukit Malawati, Kuala Selangor dan berakhir di Shah Alam.

“Saya sentiasa menetapkan sasaran memenangi kategori pelumba muda terbaik dalam setiap perlumbaan yang disertai, akhirnya ia tercapai dalam perlumbaan ini. Sudah pasti kejayaan ini membakar semangat saya untuk terus cemerlang dan meraih kejayaan lebih besar selepas ini,” katanya.

Nur Aiman dijadual menyertai Tour of Fuzhou di China dari 16 hingga 20 November depan.

“Ia satu cabaran yang lebih besar kerana berstatus 2.1, saya akan cuba memberikan yang terbaik dengan sasaran berada dalam senarai 10 terbaik kategori individu,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 3:42pm
d