arena

Harap tiada lagi istilah 'rehatkan' jurulatih

Oleh Syafiq Aznan

“KALAU boleh biarlah ‘gentlemen’, berhentikan atau singkirkan. Tidak perlu istilah merehatkan jurulatih,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan (gambar).

Sathianathan yang juga pengendali FELDA United nyata tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir pengurusan yang lebih gemar menggunakan istilah ‘merehatkan’ jurulatih susulan keputusan buruk yang dilakar pasukan terbabit kerana baginya, pengurusan perlu membuat keputusan muktamad mengenai masa depan jurulatih itu.

Malah, bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga mengakui tindakan ‘merehatkan’ jurulatih itu juga seakan ‘menyeksa’ jurulatih kerana mereka tidak boleh lagi mengendalikan pasukan dan sekadar menunggu gaji masuk di penghujung bulan.

“PJBM akan memberi cadangan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana kami mahu bubarkan istilah rehat ini. Kalau boleh beri saja keputusan sama ada diberhentikan atau disingkirkan.

“Jika mereka menggunakan pendekatan ini, jurulatih hanya berehat di rumah dan seandainya jurulatih terus diseksa sebegitu, ia bukan sesuatu yang baik kerana makin lama mereka berehat, mereka akan hilang sentuhan untuk menjadi jurulatih.

“Saya faham kenapa mereka menggunakan istilah ini kerana mereka enggan membayar pampasan kepada jurulatih itu. Jadi, ini sememangnya tidak adil buat jurulatih terbabit dan saya mengharapkan istilah ini dapat dihentikan,” katanya ketika ditemui pada sidang media simposium dan anugerah kejurulatihan bola sepak Malaysia 2017 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Pada masa sama, Sathianathan turut mahukan pengurusan supaya mengambil langkah lebih berani untuk berunding dengan jurulatih khususnya membabitkan pampasan yang akan diterima jika khidmat mereka dihentikan sebelum sampai masanya.

“Kalau boleh berunding, rundinglah. Kalau kontrak tinggal enam bulan, pengurusan mungkin boleh memberi pampasan empat atau lima bulan. Mereka perlu tahu jurulatih ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan yang diperoleh daripada bidang kejurulatihan.

“Ada juga pengurusan memberi pampasan yang tidak masuk akal. Contohnya memberi notis tiga bulan gaji kepada jurulatih tapi jurulatih hanya akan menrima gaji penuh untuk bulan pertama dan setengah bulan gaji untuk dua bulan berikutnya.

“Mereka perlu mengikat Akta Buruh dan bukan sekadar pakai hentam saja. Apapun, PJBM akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada jurulatih yang tidak jelas mengenai kontrak dan cuba menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 4:03pm
d