arena

Lydia ungguli hari pertama LPGA Malaysia

Oleh Farah Azharie

PEMENANG dua kejuaraan utama, Lydia Ko mendahului hari pembukaan kejohanan golf LPGA Malaysia Sime Darby selepas melakukan pusingan tanpa bogey dengan tujuh bawah par 64 di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Lydia, yang muncul naib juara Kejohanan Taiwan hujung minggu lalu, meneruskan rentak baiknya dengan melakukan tujuh birdie dan mendahului dengan satu pukulan di depan pemain Australia kelahiran Korea Selatan, Oh Su Hyun.

“Saya melakukan putt yang bagus hari ini. Jika anda tidak memukul bola dengan bagus tapi anda boleh melakukan putt, anda akan memperoleh peluang membuat birdie atau melakukan par,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Saya rasa permainan baik saya hujung minggu lalu banyak membantu saya minggu ini. Saya cuba untuk kekal positif dan bagi setiap pukulan yang saya lakukan, saya cuba memberi yang terbaik.”

Ketika dia memburu kejuaraan pertama musim ini, catatan 64 Lydia adalah yang paling baik pada hari pertama dalam kariernya namun pemain New Zealand kelahiran Korea Selatan itu tidak terganggu.

“Saya rasa anda tidak tahu kerana apabila anda berada di luar sana, anda tidak fikirkan mengenainya, ‘hei, apakah mata terendah saya dan sebegitu’. Apabila anda bermain, anda hanya mahu melakukan sebanyak mungkin birdie yang boleh dan memperoleh rentak yang baik,” katanya yang kini berada di tangga kelapan dunia.

Tidak seperti Lydia, Su Hyun masih menantikan kemenangan pertama di Jelajah dan berdepan permulaan kempen yang baik pada penampilan sulungnya pada kejohanan bernilai AS$1.8 juta (RM7.6 juta) itu.

KEPUTUSAN PUSINGAN PERTAMA

64 - Lydia Ko (NZL)

65 - Oh Su Hyun (AUS)

66 - Ji Eun Hee (KOR), Madelene Sagstrom (SWE), Feng Shanshan (CHN)

67 - Suzann Pettersen (NOR), Candie Kung (TPE)

68 - Danielle Kang (USA), Jacqui Concolino (USA), Nelly Korda (USA), Minjee Lee (AUS), Moriya Jutanugarn (THA), Park Sung Hyun (KOR), Gaby Lopez (MEX)

69 - Brittany Lincicome (USA), Laura Gonzalez Escallon (BEL), Brittany Lang (USA), Kim Sei Young (KOR), Karine Icher (FRA)

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:19pm
d