arena

Bintang muda Blues memukau

Oleh Reuters

London: Pengurus Chelsea, Antonio Conte kagum dengan persembahan membanggakan pemain mudanya ketika kemenangan 2-1 Piala Liga kepada Everton semalam dan berkata beliau akan menggunakan kejohanan itu bagi meneruskan pembangunan pemainnya.

Conte menukar pasukannya selepas kemenangan 4-2 ke atas Watford di Liga Perdana, Ahad lalu dan merehatkan beberapa pemain utama dengan memasukkan pemain 17 tahun, Ethan Ampadu disamping pemain Brazil, Kenedy dan Charly Musonda dalam kesebelasan utama.

Ampadu yang pertama kali disenarai dalam kesebelasan utama dan Kenedy bermain sepanjang perlawanan sementara Musonda digantikan pada minit ke-70 apabila Chelsea mendahului biarpun pasukan lawan memperoleh gol sagu hati pada masa tambahan menerusi Dominic Calvert-Lewin.

“Saya sangat gembira - malam ini saya menyaksikan banyak perkara positif - persembahan pemain muda. Charly Musonda, Kenedy, Ampadu - dia baru berumur 17 tahun - mereka semua bermain permainan yang sangat bagus,” kata Conte selepas perlawanan.

“Adalah penting untuk memberi kepercayaan kepada pemain ini dan saya gembira kerana saya mendapat jawapannya, jawapan yang saya nantikan selama ini.

“Saya rasa dalam permainan seperti ini, persembahan pemain muda semakin bagus - untuk melihat Ampadu pada malam ini adalah penting kerana kami tahu kami mempunyai ramai pemain muda yang masih boleh digilap dan memberikan mereka peluang.”

Conte berkata, pemain tengah, N’Golo Kante juga melakukan perkembangan yang ketara selepas kembali pulih daripada kecederaan hamstring tetapi beliau juga gembira dengan persembahan Danny Drinkwater yang membuat penampilan sulung menentang Everton.

“Kami mempunyai tiga lagi perlawanan sebelum rehat untuk perlawanan antarabangsa dan mungkin melihat dia kembali cergas 100 peratus selepas perlawanan antarabangsa. Saya boleh menyandarkan harapan kepadanya dalam perlawanan sebegini sekarang. Jika saya memutuskan untuk bermain dengan tiga pemain tengah, ini adalah sangat penting.”

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 9:04am
d