arena

Jangan harap menang mudah!: Mora

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) enggan memberi laluan mudah buat Kuala Lumpur untuk muncul juara Liga Perdana musim ini apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi terakhir di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.

Kuala Lumpur kini berada di tangga teratas liga selepas mengumpul 47 mata dan sudah layak ke saingan Liga Super musim depan dan penentuan kejuaraan pasti menarik apabila mereka bersaing dengan Terengganu yang turut mengutip mata sama tetapi dipisahkan perbezaan jaringan.

Pengendali JDT II, Benjamin Mora berkata, pasukannya juga tidak mahu menamatkan saingan liga dengan kekalahan apatah lagi beraksi di laman sendiri dan semestinya kemenangan menjadi idaman.

“Ia bakal menjadi perlawanan menarik dan kami akan turun dengan barisan terkuat kecuali Amir Saidin yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan, namun kelibat pemain import, Jeronimo Barreles, Samuel Careces dan Nicolas Fernandez akan memperkuatkan pasukan,” kata Mora.

“Sepanjang tempoh rehat, kami menjalani latihan yang cukup intensif malah kami juga mengadakan latihan bersama Johor DT dan ia memberi ruang buat pemain mendapat pendedahan terbaik.

“Sejak saya kembali ke pangkuan JDT II selepas membimbing Johor DT, pasukan itu tidak pernah tewas dan ia amat penting kerana meningkatkan lagi motivasi setiap pemain dan mereka mahu menamatkan saingan liga dengan pencapaian terbaik untuk berada di kelompok lima pasukan terbaik liga,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 9:22am
d