arena

Kelantan tumpu benam Melaka

Oleh Attirmidzie Rahman

BARISAN Kelantan diminta tidak terlalu memikirkan perlawanan Sarawak dan T-Team, sebaliknya memusatkan tumpuan untuk menewaskan Melaka United (MU) pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Sathit Bensoh berkata, barisannya tiada pilihan selain menewaskan MU untuk kekal beraksi dalam kancah elit itu dan sekiranya tewas mereka boleh mengucapkan selamat tinggal.

“Ia satu tugasan besar buat saya dan pemain kerana perlawanan itu satu-satunya peluang terakhir buat Kelantan kerana sekiranya tewas kita terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim depan.

“Jadi, saya harap semua pemain berusaha habis-habisan malam esok. Jangan terlalu memikirkan keputusan aksi Sarawak menentang T-Team, sebaliknya takdir kita terletak di tangan kita sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelantan kini menduduki tangga kedua tercorot dengan 19 mata dan hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang mereka untuk kekal beraksi dalam Liga Super dengan syarat Sarawak dan T-Team seri atau tewas dalam pertembungan antara mereka.

Sarawak kini memiliki kelebihan satu mata di atas Kelantan, manakala T-Team mengumpul 22 mata tetapi sekiranya kelab dari Terengganu itu tewas di Kuching, Kelantan akan berkongsi 22 mata sekiranya menewaskan MU dan perbezaan jaringan juga lebih memihak TRW.

Sathit yang baru mengambil alih tugas Zahasmi Ismail bagaimanapun menegaskan TRW perlu bersedia menghadapi situasi dan detik sukar ketika beraksi di gelanggang lawan.

“Saya akui ia memang sukar buat TRW tetapi mahu atau tidak kita perlu hadapi dan mencari kemenangan dalam perlawanan itu.

“Selain barisan pemain yang lengkap, MU juga mempunyai aura penyokong yang kuat. Itu yang menjadi satu cabaran buat kita, pasukan perlu bersedia menghadapi keadaan itu nanti. Malah, saya yakin MU tidak akan memberi laluan mudah walaupun kedudukan mereka sudah terjamin,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 3:11pm
d