arena

Malaysian Tigress cuba robek Tembok Besar

Oleh Naqib Nor Said

TEKANAN memuncak ke atas skuad hoki wanita negara untuk mencipta kejutan ketika skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah itu membuka kempen Piala Asia berdepan pasukan nombor lapan dunia China dalam aksi Kumpulan A di Kakamigahara, Jepun, esok.

China yang juga pilihan utama meletakkan sasaran tinggi kali ini selepas sekadar meraih tempat keempat pada edisi 2013 di Kuala Lumpur biarpun sudah melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di London.

Meskipun Malaysian Tigress yang menghuni ranking ke-22 dunia bersemangat berikutan kejayaan mengikat Jepun 2-2 dan kalah tipis 1-2 kepada India, namun amat mustahil untuk menafikan tiga mata penuh buat China.

Skuad negara mempunyai rekod buruk apabila bertemu pasukan Negara Tembor Besar itu selepas tidak pernah menang termasuk dalam pertemuan terakhir di Trofi Juara-Juara Asia 2016 yang berkesudahan Malaysia tumbang 1-3.

Namun bagi perancang tengah berpengalaman negara, Raja Norsharina Raja Shahbuddin peluang tetap ada buat dia dan rakan sepasukan mencuri mata ke atas pasukan bimbingan Cho Myung Jun berikutan jurang yang semakin menipis.

“Insya-Allah dengan semangat juang tinggi, saya yakin kami mampu mencuri mata ke atas China kerana tiada apa yang mustahil dalam era hoki moden ini.

“Bagi saya mereka mempunyai kekuatan dari segi melakukan hantaran dan semangat pantang menyerah kalah, jadi untuk mengatasi China kami haruslah beraksi dengan disiplin dan mengikut segala perancangan jurulatih,” katanya.

China, juara Piala Asia dua kali yang beraksi pada Sukan Olimpik 2016 adalah pasukan yang mahu ditumbangkan kali ini dan Myung Jun membawa barisan terbaiknya.

Antaranya kapten Cui Qiuxia, penyerang Liang Meiyu dan pakar pukulan sudut penalti Gu Bingfeng yang meledak empat gol dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Julai lalu.

Untuk rekod ketika tumbang 1-3 tahun lalu, satu-satunya gol Malaysia pada aksi itu hasil sumbangan Raja Norsharina menerusi pukulan sudut penalti dan pemain itu berharap dia boleh mengulangi sentuhan sama esok.

Skuad Dhaarma kemudiannya akan bertemu Singapura Ahad ini sebelum berdepan India dalam perhitungan terakhir Kumpulan A, Selasa ini. Piala Asia menawarkan tiket terakhir bagi juara zon Asia untuk ke Sukan Olimpik 2020.

JADUAL PIALA ASIA

ESOK

KUMPULAN A

Malaysia mln China (11.30 pagi)

India mln Singapura (1.30 ptg)

KUMPULAN B

Korea Selatan mln Thailand (3.30 ptg)

Jepun mln Kazakhstan (5.30 ptg)

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 5:54pm
d