arena

Pandelela tak terkilan tewas kepada adik China

Oleh Aida Adilah Mat

SESUATU perlu dipertingkatkan oleh penerjun negara Pandelela Rinong apabila tewas kepada penerjun muda berusia 13 tahun dari China, Zhang Jiaqi dalam aksi 10 meter platform individu pada Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Pemenang pingat gangsa temasya Olimpik London itu meraih perak selepas ketinggalan 77.45 mata kepada Jiaqi yang mengumpul 409.85 mata keseluruhan untuk emas manakala penerjun Korea Selatan, Kim Su Ji meraih gangsa dengan 293.10 mata.

Malah Pandelela turut mengakui kehandalan penerjun dari Negara Tembok Besar itu tidak boleh dipertikaikan.

“Saya tidak sedih sangat kalah kepada penerjun muda China kerana dia akan menjadi penerjun handalan pada masa depan.

“Banyak benda yang saya perlu belajar daripadanya,” katanya.

Biarpun pingat perak, Pandelela berkata, dia tetap berpuas hati apabila dapat mempamerkan peningkatan serta memperbaiki terjunannya di pentas akhir itu.

“Ini pingat pertama saya dalam aksi GP biarpun perak saya tetap berpuas hati.

“Saya akan cuba lagi selepas ini dalam acara 10m seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee,” katanya yang kali terakhir beraksi bersama Mun Yee pada 2015.

Sementara itu harapan untuk menyaksikan atlet negara Ooo Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman menghadiahkan pingat tidak kesampaian selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima dan keenam apabila masing-masing mengumpul 407.70 dan 372 mata.

Acara itu dimenangi penerjun Korea Selatan, Woo Ha Ram (479.35 mata) diikuti dua penerjun China, Liu Chengming (460.15) dan Peng Jianfeng (454.75).

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 9:11pm
d