arena

TMJ nadi Harimau Selatan

Oleh Syafiq Aznan

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (Johor DT) muncul sebagai gergasi bola sepak tempatan adalah hasil daripada kebijaksanaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bukan hanya bersandarkan kepada jurulatih semata-mata.

Hakikat itu diakui bekas pengendali skuad Harimau Selatan, Bojan Hodak yang menegaskan jurulatih berjaya membawa kejayaan kepada pasukan itu disebabkan bimbingan daripada pemiliknya, Tunku Ismail selain sokongan kewangan yang kukuh dalam mendapatkan pemain terbaik.

“Setiap jurulatih yang datang ke Johor DT mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kejuaraan. Mario Gomez tidak akan memenangi apa-apa kejuaraan jika bukan disebabkan Tunku Ismail.

“Semua orang dalam industri bola sepak mengetahuinya. Mungkin ramai penyokong yang tidak tahu fakta ini tetapi tanpa para pemain yang Tunku Ismail letakkan, saya tidak rasa beliau akan memenangi apa-apa kejuaraan termasuk saya.

“Apa kejayaan yang Mario Gomez capai sebelum ke Johor DT? Tiada. Kini, beliau mahu kembali ke sini kerana beliau tidak lagi mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya menerusi laman sosial rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Hodak yang kini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) pernah membimbing Johor DT pada tahun 2014 dan 2015 yang menyaksikan pengendali kelahiran Croatia itu membawa skuad Harimau Selatan muncul juara Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.

Hodak kemudiannya digantikan dengan Gomez yang menyaksikan sentuhan emasnya membolehkan Johor DT melalui 'zaman emas' yang menyaksikan pasukan itu mendominasi kancah tempatan selepas memenangi pelbagai trofi.

Kejayaan terbesar yang disumbangkan Gomez buat Johor DT adalah kejuaraan Piala AFC 2015 sekali gus menjadikan kelab itu sebagai pasukan Asia Tenggara pertama memenangi trofi peringkat Asia.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 10:08pm
d