arena

'Kami bukan menang nasib'

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGENDALI Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel menepis tanggapan betapa kejuaraan Liga Perdana yang dimenangi pasukan itu bergantung kepada nasib semata-mata.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Brazil itu menegaskan kejayaan itu hasil kerja keras setiap pemain The City Boys yang inginkan kejayaan.

Bagaimanapun, dia mengakui terkilan selepas skuad kendaliannya tewas 3-1 pada aksi terakhir liga menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Katanya, ia pertembungan sukar apabila berdepan skuad kendalian Benjamin Mora yang beraksi konsisten dan berjaya menyumbat dua gol dalam tempoh singkat sekali gus menyebabkan pemainnya hilang tumpuan.

“Ia cukup mendebarkan bagi kami yang mahukan kemenangan kerana JDT II turun tanpa sebarang sasaran kerana jika mereka menang, kalah atau seri mereka tetap kekal di Liga Perdana tetapi kami mahu menjulang trofi liga.

“Apabila JDT II menjaringkan gol seawal minit ketiga, ia menyukarkan kami dan seterusnya kami dibolosi pula gol kedua sekali gus menyentap motivasi pemain, namun saya sedar kami tidak boleh biarkan mereka menguasai perlawanan.

“Kami kemudian memiliki sekurang-kurang tujuh peluang keemasan tetapi gagal diterjemahkan kepada gol dan saya bertambah risau terutama selepas mengetahui Terengganu sedang mendahului PKNP FC 1-0 pada babak pertama,” katanya sejurus perlawanan.

Maciel berkata bersambung babak kedua, pemainnya tetap berusaha merapatkan jurang gol namun gol ketiga JDT II meruntuh semangat juang anak didiknya, namun mereka tetap bersungguh-sungguh mencari gol dan berjaya mencipta satu gol menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, dia mengakui lega selepas mendapat tahu Terengganu tewas kepada PKNP FC dan menegaskan pemain berhak meraikan kejayaan itu selepas bekerja keras selama ini.

“Ketika saya mengambil alih tugas membimbing pasukan Jun lalu, Kuala Lumpur berada di tangga kelapan liga dan hasil kerja keras dan semangat juang tinggi pemain maka mereka berhak bergelar juara selepas kali terakhir Kuala Lumpur memenangi trofi Piala Sumbangsih 17 tahun lalu.

“Apapun, saya terkilan kerana saingan liga yang berehat sebulan menjejaskan rentak permainan, namun apa jua yang berlaku musim ini sememangnya tidak dapat dilupakan dan kami akan berehat sebulan sebelum kembali menyambung latihan bagi persiapan bersaing di Liga Super,” kata Maciel.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 12:54pm
d