arena

TSG Fellowship Ride 2017 cungkil bakat muda

Oleh Malik Muhamad

PESERTA seusia 11 tahun antara 1,300 peserta yang menyertai Festival TSG (Terengganu Cycling Team) sempena TSG Fellowship Ride 2017 yang diadakan di pantai peranginan Batu Buruk, sebentar tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, selain 12 pelumba profesional TSG yang menyertai kayuhan santai ini, turut sama memeriahkan program berkenaan pelumba dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Program julung kali diadakan ini bukan bertujuan mencari pemenang walaupun turut disertai pelumba dari luar negara, tapi ia bertujuan memberi pengalaman kepada peserta merasai sendiri suka duka dan pahit manis pelumba TSG ketika menyertai sesuatu pertandingan.

“Selain itu kayuhan santai ini juga salah satu program tanggungjawab sosial korporat TSG kepada peminat sukan basikal sebagai menghargai sokongan mereka kepada pasukan TSG yang kini sudah menempa nama di persada dunia.

“Satu lagi program ini juga boleh diklasifikasikan sebagai serampang dua mata kepada sukan lumba basikal di Terengganu dan juga negara sebagai pemangkin kecemerlangan sukan itu pada masa depan,” kata Ahmad Farhan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang melepaskan peserta dalam kayuhan santai itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, peserta yang menyertai kayuhan santai sejauh 120 kilometer yang bermula di pantai Batu Buruk hingga ke pantai peranginan Merang Setiu dan berakhir di Batu Buruk juga berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah sebuah kereta Perodua Axia.

“Peserta juga berpeluang melihat dengan lebih dekat pelumba TSG selain menyertai acara lain yang disediakan termasuk pertandingan memancing dan pertandingan basikal kreatif,” kata Ahmad Farhan yang menyatakan kayuhan itu juga sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Antara pelumba yang turut memeriahkan kayuhan santai itu termasuk Anuar Manan, Mohd Harrif dan abangnya Mohd Zamri Saleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Adiq Husainie Othman, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Zulhilmie Afif Zamri serta Che Ku Mohd Nazmi dan adiknya Che Ku Mohd Shamil Che Ku Romli.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 1:12pm
d