arena

'Jangan lebih-lebih'

Oleh AFP

SOUTHAMPTON: Pengurus Southampton, Mauricio Pellegrino memberi amaran kepada pemain sayap, Sofiane Boufal gara-gara tindakannya meraikan gol dengan cara yang berlebihan.

Boufal masuk dari bangku simpanan untuk meledak gol kemenangan 1-0 ke atas West Brom, Ahad lalu dan dianggap antara gol tercantik musim ini apabila melakukan gerakan solo sejauh 70 meter sebelum menewaskan Ben Foster.

Bintang Maghribi itu kemudiannya meraikan jaringan dengan berlari ke arah bangku simpanan sebelum menepuk dada di depan Pellegrino, yang sering mengetepikannya dalam kesebelasan utama.

Pellegrino berkata: “Saya sudah bercakap dengannya mengenai cara dia meraikan gol itu.

“Ia sesuatu yang peribadi tetapi apapun saya gembira dengan tindakannya, reaksi balasnya di atas padang selepas bagaimana aksinya sebelum ini.

“Pemain gantian dibawa masuk untuk memberi impak dan Sofiane berjaya menjalankan tanggungjawabnya. Ia sesuatu yang perlu dipelajari Sofiane sebagai pemain muda untuk tidak terlalu berlebihan dalam meraikan jaringan.”

Meskipun Boufal mencetak gol kemenangan, Pellegrino masih belum memutuskan sama ada dia akan diturunkan bagi aksi berdepan Brighton, esok.

Tambah Pellegrino: “Dia boleh bermain di tiga posisi belakang penyerang. Tetapi pendapat saya dia lebih sesuai di sebelah kiri, namun pada masa sama saya fikir Nathan (Redmond) lebih baik beraksi di sebelah kiri.”

The Saints bagaimanapun akan turun tanpa khidmat tonggak tengah Mario Lemina yang dihimpit kecederaan lutut.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 1:50pm
d