arena

Jellson-Hanis sambar pingat perak

Oleh Jumiati Rosly

GANDINGAN penerjun muda, Jellson Jabilin-Hanis Nazirul Jaya Surya terus membuktikan kemampuan apabila memenangi pingat sulung pada Kejohanan Terjun FINA Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017 dengan merangkul perak acara 10 meter platform seirama lelaki, sebentar tadi.

Selepas memenangi emas dalam acara sama pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu, kedua-dua penerjun yang berumur 16 tahun dan baru digandingkan tahun ini berjaya mengumpul 364.26 mata.

Gandingan itu ketinggalan 68.34 mata di belakang pasangan Korea Selatan, Kim Yeongnam-Woo Haram yang meraih emas.

“Ini GP pertama kami dan keputusan ini sangat memuaskan kerana lawan kami semua beri tentangan sengit termasuklah gandingan penerjun Korea Selatan yang sebelum ini sudah beraksi di Sukan Olimpik.

“Mungkin faktor di tempat sendiri memainkan peranan dalam kejayaan hari ini kerana sudah selesa dengan tempat sendiri, namun bagi saya ia agak mencabar kerana pertandingan diadakan di sebelah pagi,” kata Nazirul.

Nazirul yang juga penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, dia sebenarnya tidak berada dalam keadaan terbaiknya apabila mengalami gastrik yang teruk dan sakit belakang, semalam.

Sementara itu, Jellson berkata dia akan menggunakan motivasi kejayaan itu apabila turun sekali lagi bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama campuran pada sesi petang ini.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 3:23pm
d